Index» » » » » » » Perang Besar Kumpulan Fundamental Liberal PAS

Perang Besar Kumpulan Fundamental Liberal PAS

Senin, 10 Maret 2014


Perang kini sudah bermula antara kumpulan fundamental dan liberal bagi pemilihan PAS yang akan diadakan tidak lama lagi setelah senarai calon bertanding telah dikeluarkan.

Jawatan Timbalan Presiden menunjukkan penyandang, Mohamad Sabu yang juga dikenali sebagai Mat Sabu dicabar oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah – penentu arah tuju PAS bergantung kepada pemenang bagi jawatan ini.

‘Perang’ yang sama juga dapat dilihat bagi jawatan Naib Presiden dimana tiga penyandang, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Sallehuddin Ayub dicabar oleh anggota fundamental iaitu Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli Dewan Ulama PAS, Abu Bakar Chik.

PAS sememangnya telah lama dicemari dengan jurang antara kumpulan veteran fundamental serta kumpulan liberal di mana kedua-dua kumpulan sering cuba untuk membawa arah tuju parti menurut apa yang mereka mahukan, hinggakan ahli parti sendiri berpecah-belah dan masing-masing mula mengikut kumpulan mereka sendiri.

Kumpulan fundamental masih lagi mengutamakan perjuangan utama PAS dengan objektif untuk menubuhkan negara Islam serta perlaksanaan hudud. Liberal pula, mereka lebih berminat untuk menang pilihanraya umum (PRU) dan menguasai Putrajaya.

Parti Islam ini telah bekerjasama di samping DAP sejak era 80-an bagi setiap PRU namun kerjasama ini hanya sekadar untuk nama – meletakkan calon di kawasan berdasarkan pada majoriti kaum di mana mereka tidak pernah mempersoalkan tentang falsafah mahupun konsep kerjasama yang dibuat.

Bagaimanapun, PAS terpaksa menghadapi situasi sukar apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula ‘bertandang’ di mana prinsip asas PAS beberapa kali diuji dan ‘dicabar’ yang akhirnya meletakkan PAS dalam situasi sukar.

Dalam keadaan ini, pemimpin-pemimpin PAS sering ‘bertarik-tali’ dengan kumpulan liberal yang menyatakan sokongan mereka kepada PKR dan DAP terhadap beberapa isu sensitif yang berkaitan dengan Islam sementara kumpulan fundamental masih teguh dengan pendirian mereka, membantah kenyataan yang dibuat oleh kumpulan liberal.

Namun, segalanya mungkin akan berakhir pada pemilihan parti kali ini apabila kedua-dua kumpulan telah mengenengahkan calon mereka untuk dipilih oleh perwakilan parti bagi menentukan siapa yang bakal memimpin PAS.

Memandangkan jawatan Presiden PAS tidak dicabar yang menyaksikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding, jawatan Timbalan Presiden dan tiga kerusi Naib Presiden kini menjadi fokus utama yang bakal menentukan fahaman mana yang akan memimpin arah tuju parti.

Penyandang Timbalan Presiden, Mat Sabu yang dipercayai mempunyai hubungan rapat bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga dilabel sebagai seorang liberal, akan dicabar oleh anggota fundamental, Mohd Amar yang pernah menentang Mat Sabu dan Husam yang mahu ahli parti supaya menyokong salah satu daripada demonstrasi Anwar, Black Out 505 Mei lalu.
Pemilihan kali ini bakal menyaksikan perang antara liberal dan fundamental yang akan diundi oleh lebih kurang 2,000 perwakilan parti.

Bagi jawatan Naib Presiden, tiga penyandang akan dicabar oleh dua anggota fundamental yang amat dikenali oleh perwakilan parti berkaitan dengan perjuangan mereka selain sumbangan yang mereka berikan pada PAS.

Tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh, perwakilan parti bagi pemilihan PAS kali ini adalah penentu bagi arah tuju kepimpinan PAS. Adakah liberal atau fundamental?



Tidak ada komentar:

Posting Komentar